Salah satu daripada aspek morfologi bahasa Melayu adalah bentuk perkataan yang terdiri daripada kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Kata tunggal ialah kata yang tidak mempunyai apitan, imbuhan dan gandaan tetapi hanya terdiri daripada kata dasar. Menurut Abdul Aziz Abdul Rahman (2001:51) secara umumnya akronim tergolong dalam bentuk kata tunggal yang terdiri daripada satu bentuk dasar, iaitu bentuk yang tidak menerima imbuhan atau kata dasar yang lain. Kata tunggal terdiri daripada beberapa bahagian antaranya kata akronim. Kata akronim adalah kata yang hampir menyerupai kata singkatan. Tetapi berbeza dari segi proses pengujaran dan penulisannya.
Menurut Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin (2005:171) akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan huruf awal dan suku kata daripada satu rangkaian dan ditulis serta dilafazkan sebagai kata yang wajar. Sungguhpun akronim berasal daripada beberapa perkataan tetapi telah menjadi satu kata yang utuh dan mantap yang mempunyai makna serta dapat berdiri sendiri. Akronim melibatkan percantuman bahagian-bahagian daripada beberapa perkataan untuk membentuk satu perkataan baru (Tatabahasa Dewan, 1993:52).
Secara umumnya akronim boleh didefinisikan sebagai satu bentuk kata yang dipendekkan dengan menggabungkan atau mencantumkan beberapa huruf yang terdapat pada perkataan tersebut. Akronim bertujuan untuk memudahkan penutur semasa mengujarkan perkataan yang panjang sepeti nama pertubuhan sesuatu badan atau organisasi dan perkataan tersebut dapat memberikan makna dan difahami oleh khalayak. Akronim juga dilafazkan dengan mengikut suku kata setelah perkataan tersebut diakronimkan.
Menurut Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin (2005:171) menyatakan akronim ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu gabungan beberapa huruf awal rangkai kata yang disingkatkan. Permulaan huruf yang diambil hendaklah ditulis dengan menggunakan huruf besar. Contohnya, Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Jenis akronim yang kedua adalah gabungan huruf awal sesuatu perkataan atau suku kata pertama perkataan tersebut yang ditulis dengan menggunakan huruf kecil keseluruhannya. Contohnya, taman bimbingan kanak-kanak(tabika) dan cerita pendek(cerpen). Jenis akronim yang ketiga adalah gabungan huruf awal atau suku kata sesuatu perkataan dan berfungsi sebagai satu kata nama khas. Kata nama khas ini ditulis bermula dengan huruf besar . Contohnya, Berita Nasional Malaysia (Bernama),Perbadanan Nasional (Pernas) dan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan)
Menurut Asmah Haji Omar (1986:24) akronim terbahagi kepada tiga iaitu menggabungkan suku kata pertama dan suku kata kedua unsur. Gabungan antara kedua-dua suku kata ini dapat membentuk satu perkataan yang mempunyai makna. Contohnya, habis kikis diakronimkan menjadi hakis dan asap kabut diakronimkan menjadi asbut.
Jenis akronim yang kedua adalah dengan menggabungkan unsur-unsur dengan cara memendekkan unsur pertama dan mengekalkan huruf perkataan kedua tanpa membuangnya.
Jenis akronim yang ketiga adalah gabungan kata depan dengan memendekkan unsur kedua pada bahagian awalnya.
Asmah Haji Omar menyatakan proses akronim boleh dilakukan bergantung kepada kesesuaian dan kesedapan bunyi ayat tersebut. Walau bagaimanapun, konsep yang dinyatakan oleh Asmah Haji Omar adalah salah dari aspek makna perkataan tersebut. Perubahan makna ini boleh menyebabkan kekeliruan. Contohnya perkataan ‘ke masa kini’ diakronimkan menjadi ‘kemaskini’ yang dapat dilihat pada muka surat tiga. Perkataan ‘ke masa kini’ membawa maksud pada hari tersebut atau hari ini manakala ‘kemaskini’ pula membawa maksud semak semula atau rekod semula. Walaupun mengalami proses akronim, tetapi maksud perkataan tersebut telah mengalami perubahan dan menimbulkan kekeliruan yang menjadi permasalahan dalam proses akronim jika menggunakan konsep Asmah Haji Omar.
Menurut Mansoer Pateda (1995:168) singkatan adalah pemendekan kata-kata yang teratur mewujudkan satu bentuk kata. Walaupun kata singkatan hampir menyerupai kata akronim, tetapi ia mempunyai banyak perbezaannya. Perlulah diingatkan bahawa akronim berbeza daripada singkatan. Singkatan ialah kependekan bagi satu atau beberapa perkataan manakala akronim adalah gabungan perkataan. Proses singkatan tidak melibatkan gabungan.
Sekiranya diperhatikan secara mendalam dan terperinci, kata singkatan ini kebanyakannya dipengaruhi oleh masyarakat dalam penggunaannya untuk berkomunikasi. Setiap perkataan yang disingkatan haruslah difahami oleh khalayak umum supaya mesej yang ingin disampaikan dapat difahami. Kata singkatan ini adalah proses pembuangan huruf dalam beberapa perkataan dan diujarkan secara satu persatu mengikut ejaan huruf.
Kata singkatan sebenarnya melibatkan pembuangan huruf yang terdapat dalam beberapa perkataan. Singkatan terbahagi kepada beberapa jenis yang melibatkan pembuangan huruf antaranya adalah singkatan perkataan yang melibatkan enam perkataan seperti bilangan disingkatkan menjadi bil, dan perkataan yang tidak boleh disingkatkan sehingga satu huruf dan telah utuh dalam penggunaannya seperti perkataan halaman disingkatkan menjadi h. Walau bagaimanapun, kata singkatan ini sebenarnya tidak termasuk dalam golongan kata singkatan kerana kata-kata yang telah disingkatkan ini lebih kepada bentuk tulisan. Kata-kata ini ditulis dalam penulisan novel, majalah, komik dan sebagainya untuk menjimatkan ruang dan masa.
Kata akronim dan kata singkatan mempunyai banyak perbezaannya. Perbezaan yang paling ketara adalah cara pengujarannya. Akronim diujar berdasarkan suku kata atau disebut dalam satu atau lebih ujaran. Tetapi kata singkatan diujarkan berdasarkan huruf dan diujarkan secara satu persatu seperti PLKN (Program Latihan Khidmat Negara) tidak diujarkan sekali gus tetapi disebut satu persatu berdasarkan huruf pertama setiap perkataan. Walau bagaimanapun, kata akronim dan kata singkatan ini mempunyai persamaan antaranya mempunyai persamaan dari segi gabungan dan percantuman huruf pertama dalam perkataan. Percantuman dan gabungan berlaku semasa proses akronim dilakukan bukan hanya melibatkan satu huruf yang pertama sahaja malah melibatkan gabungan suku kata dan huruf. Oleh itu, pelbagai konsep dan penggunaan kata akronim dan singkatan diutarakan oleh ahli pakar bahasa.
Hasil daripada pemerhatian dan kajian yang dilakukan, didapati bahawa kata akronim sebenarnya tidak menyerupai kata singkatan. Kata akronim adalah tergolong dalam kata tunggal manakala kata singkatan bukan tergolong dalam kata tunggal. Oleh itu, sudah jelas kata akronim dan kata singkatan adalah berbeza. Selain itu, apabila sesuatu perkataan diakronimkan dan hasil perkataan tersebut adalah mudah untuk diujarakan manakala kata singkatan adalah perkataan yang telah disingkatakan dan sukar untuk diujarkan (Mansoer Pateda,1995:168). Menurut Ahmad Khair Mohd Nor (2007) akronim harus dibezakan daripada singkatan. Persamaan antara kedua-duanya ialah kedua-duanya melibatkan gabungan atau cantuman huruf pertama dalam beberapa perkataan.
Nik Safiah Karim et al. (2005:171) menyatakan akronim jenis kedua adalah gabungan huruf awal sesuatu perkataan atau awalan suku kata perkataan tersebut yang ditulis dengan menggunakan huruf kecil keseluruhannya dengan memberikan contoh cerpen sebagai akronim jenis kedua. Berdasarkan definisi yang dinyatakan, jenis akronim yang kedua menyatakan gabungan awal suku kata setiap perkataan. Walau bagaimanapun, dalam contoh yang diberikan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan. Cerpen sebenarnya berasal dari perkataan cerita pendek. Oleh itu, perkataan sebenar yang diakronimkan mengikut peraturan jenis kedua ini adalah cepen dan bukannya cerpen. Hasil daripada awal suku kata pertama setiap perkataan yang diakronimkan. Sepatutnya, jenis perkataan ini diasingkan dan diberi nama atau jenis baru iaitu pengekalan tiga huruf pertama dan suku kata bagi perkataan kedua.
Perkataan cerpen adalah mengikut konsep jenis kedua Asmah Haji Omar iaitu pemendekan kata akronim tidak ditentukan oleh kriterium tetapi bergantung kepada kesesuaian atau kesedapan ayat tersebut. Jika cerita pendek diakronimkan menjadi cepen mengikut konsep dalam Tatabahasa Dewan, ianya tidak menimbulkan keserasian atau kesesuaian dalam ayat. Malah, ianya akan menyukarkan penutur untuk menutur perkataan tersebut. Oleh itu, konsep yang terdapat dalam Tatabahasa Dewan adalah saling berkaitan dengan konsep Asmah Haji Omar.
Jenis akronim yang pertama juga sama dengan jenis akronim yang kedua, tetapi bezanya jenis ini berfungsi sebagai kata nama khas dan ditulis bermula dengan huruf besar. Perkataan Universiti Pendidikan Sultan Idris apabila diakronimkan akan menjadi UPSI. Walau bagaimanapun, pengambilan suku kata pertama bagi setiap perkataan tidak mematuhi peraturan jenis pertama dalam Tatabahasa Dewan iaitu gabungan huruf awal yang disingkatkan. Jika kata nama khas tersebut mematuhi peraturan jenis pertama, hasil daripada proses akronim adalah upensulid.
Kata singkatan yang dinyatakan oleh kebanyakan buku adalah dalam bentuk penulisan dan bukan dalam bentuk singkatan yang diselaraskan. Kata singkatan adalah perkataan yang disingkatkan dan sukar untuk diujarkan seperti perkataan JBA dan b.p. Terdapat kekeliruan contohnya dalam Sulaiman Masri et al. (2006:156), menyatakan mindef dan bernas adalah kata singkatan yang berasal daripada perkataan ministry of defence dan Beras Nasional. Menurut Mansoer Pateda (1995:168), perkataan singkatan yang telah disingkatkan adalah sukar untuk diujarkan. Oleh itu, kata singkatan ini adalah salah dari segi hukum penyingkatan. Perkataan Mindef dan Bernas sepatutnya tergolong dalam kata akronim dan bukannya dalam kata singkatan. Bernas adalah perkataan yang diujarkan tanpa menyukarkan penuturnya menutur perkataan tersebut. Oleh itu, kata singkatan adalah kata yang terdiri daripada beberapa huruf dan diujar satu persatu tanpa membentuk suku kata contohnya Barisan Nasional disingkatan menjadi BN.
Secara ringkasnya, singkatan atau kependekan ini digunakan untuk mengenal bentuk yang diringkaskan. Bentuk yang diringkaskan haruslah difahami oleh khalayak supaya mesej yang ingin disampaikan dapat difahami. Penggunaan kata singkatan dalam teks atau apa-apa artikel contohnya seperti akhbar dan novel adalah bertujuan untuk menjimatkan ruang. Selain daripada itu juga kata singkatan berfungsi untuk mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat. Penggunaan kata singkatan jelas dapat dilihat dalam penulisan novel atau skrip drama yang menggunakan bahasa harian untuk menggambarkan emosi, suasana, tempat dan watak seseorang pelakon.
Kata akronim pula terbentuk daripada huruf-huruf yang terdapat dalam pekataan yang ingin diakronimkan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pakar bahasa. Ringkasnya, akronim berbeza dengan singkatan dari dua aspek iaitu akronim adalah komponen kata tunggal manakala kata singkatan tidak. Kedua adalah perkataan yang telah diakronimkan mudah untuk diujarkan seperti tabika dan kugiran manakala kata singkatan sukar untuk diujarkan walaupun telah mengalami proses pemendekkan contohnya UKM dan KL.
Hasil daripada penelitian, dapat disimpulakan bahawa kata singkatan dan kata akronim adalah berbeza. Perbezaan pendapat atau konsep yang diutarakan oleh pelbagai ahli bahasa sebenarnya mempunyai banyak persamaan dan saling berkaitan anatara satu sama lain. Walau bagaimanapun, ada kesilapan atau kekeliruan apabila menggunakan konsep yang diutarakan oleh ahli pakar bahasa ini tetapi masih berakar umbi pada punca yang sama. Kedua-dua kata ini masih melibatkan pemendekan, gabungan, pembuangan dan percantuman huruf dalam beberapa perkataan.
Friday, November 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Bolehkah kata singkatan digunakan di awal ayat...contohnya... 1. KPM perlu menyediakan garis panduan....blah.bla....Perlukah KPM dieja penuh?
Perbezaan akronim dan paduan? Apa maksud paduan tu?
Post a Comment