Tuesday, November 18, 2008

Pembentukan Masyarakat Majmuk Di Malaysia

Pembentukan Masyarakat Majmuk Di Malaysia



Malaysia pada hari ini didiami oleh pelbagai bangsa, kaum dan etnik dari Perlis hingga ke Sabah. Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujud pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam. Corak masyarakat Malaysia seperti ini berlaku disebabkan oleh perubahan masa dan keadaan, seperti yang berlaku terhadap perubahan struktur politiknya. Sebelum abad ke-18 dan ke-19, masyarakat Malaysia tidak begini coraknya. Sebaliknya boleh dikatakan bahawa, semenanjung Tahan Melayu ketika itu didiami oleh orang Melayu dan Orang Asli bersama sebilangan kecil bangsa atau kaum lain. Tetapi kini coraknya telah berubah dan wujudlah pembentukan masayarakat majmuk.

J.S.Furnivall merupakan orang pertama yang mengemukakan konsep masyarakat majmuk berdasarkan kajiannya di Indonesia dan Burma. Menurut Furnivall (1967:54), masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Walaupun pelbagai kaum berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan dan interaksi sosial dalam kalangan mereka amat berkurangan dan hubungan mereka hanya terbatas kepada hal ekonomi dalam jual beli. Pembahagian tugasan dilakukan atas garis-garis ras.

Idea Furnivall mengenai masyarakat majmuk telah banyak dibincangkan oleh tokoh-tokoh sosiologi yang terkemudian. M.G. Smith merupakan salah seorang yang telah memberikan satu analisis yang panjang lebar mengenai konsep ini. M.G. Smith juga menganggap masyarakat majmuk sebagai masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya, perpecahan sosial dan perselisihan. Dari segi politik pula, masyarakat majmuk dikuasai oleh satu kelompok minoriti yang mempunyai kebudayaan yang tersendiri. Smith juga berpendapat bahawa masyarakat wujud atas dasar konflik dan paksaan, bukannya atas dasar nilai bersama. Selain daripada Furnivall dan Smith, P.L. Van Den Berghe juga memberikan sumbangan terhadap perbincangan mengenai konsep masyarakat majmuk. Beliau membezakan kemajmukkan sosial iaitu masyarakat dipecahkan kepada kelompok korporat dan bukannya budaya daripada kemajmukkan budaya iaitu wujud daripada beberapa kelompok etnik.

Ketiga-tiga tokoh ini menekankan konflik dan perpecahan sebagai unsur ketara dalam masyarakat majmuk. Pendirian ini amat bertentangan dengan pendekatan fungsional yang mendakwa bahawa masyarakat majmuk wujud atas dasar konsensus dan nilai bersama. Oleh yang demikian, tidak hairanlah beberapa kritikan mengenai idea atau teori masyarakat majmuk juga datang daripada ahli fungsional. Walau bagaimanapun, teori ini mempunyai kelebihannya iaitu salah satu percubaan untuk membentuk satu teori secara umum mengenai hubungan ras. Teori ini cuba memasukkan pentingnya unsur ras dan etnik ke dalam satu rangka dasar berbentuk konseptual dan merupakan satu syarat asas untuk memahami sifat hubungan ras.

Sebelum abad ke-18, penduduk di Tanah Melayu dan kepulauan borneo ketika itu didominasi oleh orang Asli, orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Migrasi daripada luar juga berlaku tetapi jumlahnya terhad. Selain itu, terdapat juga kaum pendatang daripada Sumatera, Indonesia. Tetapi tidak menjejaskan corak masyarakat ketika itu kerana kaum pendatang ini adalah daripada rumpun bangsa yang sama (James P. Ongkili, 1985:4).

Pada awal abad ke-18, perubahan dalam struktur masyarakat berlaku di Malaysia disebabkan oleh fenomena migrasi dari luar yang berlaku akibat faktor penarik yang ada di bumi mahupun faktor penolak di negara asal masing-masing yang bertanggungjawab mencernakan perubahan yang berkekalan sehingga ke hari ini. Struktur masyarakat di Malaysia berubah adalah disebabkan migrasi daripada luar dan juga faktor penolak dan penarik. Migrasi ini berlaku sedikit demi sedikit sebelum penjajahan barat, tetapi berleluasa setelah penjajahan berlaku. Aktiviti ekonomi dan perladangan menjadi faktor utama dalam aktiviti migrasi daripada luar terutamanya daripada China dan India.

Menurut B.W. Andaya dan L.Y Andaya (1983:159), masyarakat Cina daripada negara China sebenarnya ingin keluar daripada hidup penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu, mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Kemasukan buruh-buruh Cina ke Tanah Melayu melalui beberapa cara yang dikenalpasti diusahakan oleh orang Cina sendiri yang telah menetap lama di Tanah Melayu melalui sistem tiket yang sangat popular. Menurut W.L. Blythe (1953:3), bilangan buruh Cina yang berhijrah memang ramai dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Namun angka yang tepat sukar ditentukan kerana ketiadaan dokumen yang sah dan kemasukan secara haram ke Tanah Melayu.

Kemasukkan masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin bertambah. Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat Melayu ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya dan Cina Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat luar.

Migran kedua terbesar selepas China adalah kelompok daripada India. Kebanyakan mereka berasal daripada India Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga mengalami masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar. Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang mendorong penduduknya berhijrah keluar ke negara-negara lain termasuk ke Tanah Melayu ketika itu. Migran India datang sejak pembukaan Pulau Pinang oleh Inggeris. Pada waktu itu bilangan mereka masih kecil dan bertambah setelah Inggeris berjaya benguasai negeri-negeri Melayu.

Selain migran daripada negara China dan India, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga menjadi tumpuan daripada masyarakat luar seperti dari Indonesia dan Ceylon. Namun, bilangan mereka jauh lebih rendah berbanding dengan buruh daripada China dan India. Kebanyakan pendatang Indonesia berasal daripada Jawa, Kalimantan (Banjarmasin), Celebes, Timor dan Sulawesi serta beberapa bahagain kepulauan yang berhampiran dengan Selat Melaka.. Pendatang daripada Indonesia juga berbilang suku kaum dan etnik antaranya orang Jawa, Bugis, Minang dan Banjar. Menurut S.N. Arseculeratne (1991:8), pendatang dari Ceylon kebanyakannya terdiri daripada kaum Sinhalese. Mereka datang dari kawasan pantai selatan negara tersebut. Mereka datang dengan jumlah yang agak ramai selepas abad ke-19 berterusan hingga abad ke-20. Kedatangan berterusan ini disebabkan penjajahan British di Ceylon. Faktor ekomoni adalah bukan faktor utama penghijrahan mereka, sebaliknya mereka ingin mencari rezeki yang lebih berbanding apa yang mereka dapat di negara asal mereka (S.N. Arseculeratne,1991:10).

Setelah kemasukan migran daripada luar, bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti sekarang. Proses pembentukan masyarakat pada mulanya sukar kerana berbeza fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian. Banyak konflik yang berlaku dalam proses pembentukan ini seperti peristiwa 13 mei 1969. Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan mengikut garisan pemisah ras, bukan garisan kelas. Pengambilan pekerja buruh daripada luar di buat secara tetap sudah pasti akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan politik yang lebih membimbangkan dan bagi mengelak pembentukan masyarakat majmuk pelbagai etnik atau heterogeneous seperti mana yang cuba dielak oleh negara-negara Eropah Barat dan Telok (Weiner, 1990:143).

Campur tangan Inggeris di Tanah Melayu bermula apabila Francis Light menduduki Pulau Pinang pada Ogos 1786, menyebabkan kemasukkan migran secara besar-besaran daripada luar. Dalam jangka masa yang panjang semasa pemerintahan kolonial British di Malaysia iaitu selama lebih satu ratus lima puluh tahun bermula 1786 hingga 1957. Antara tahun itu, Malaysia telah diduduki oleh Jepun semasa perang dunia kedua. Walau bagaimanapun, jangka masa singkat itu dianggap tidak mempunyai signifikan yang besar kepada komposisi dan mobiliti penduduk. Masyarakat homogenis Melayu Tanah Melayu telah mengalami transformasi kepada masyarakat heterogenios Malaysia yang mengandungi etnik-etnik Melayu, Cina dan India sebagai komponen utamanya.

Setelah kemasukan migran dari luar akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina dan India yang berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, maka wujud beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain.

Kesimpulannya, pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia bermula apabila kemasukan migran daripada luar. Proses ini berterusan sehingga penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di Malaysia. Kehadiran kelompok-kelompok ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya, adab resam, bahasa dan latar berlakang kebudayaan yang berlainan. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan negara ini menjadi tarikan masyarakat luar.

Friday, November 14, 2008

Erti Pada Dalam Kamus Dewan

Erti Pada Dalam Kamus Dewan

pada I 1. kata sendi nama yg bererti di: ~ bulan Januari; dlm ~ itu sementara (sambil) itu; 2. kata sendi nama yg bererti terhadap: Bang Uda marah tak ~ Ida? 3. dalam, menurut, mengikut: ~ fikirannya; ~ hatinya; ~ sangkanya; 4. buat, bagi: ~nya dunia ini bukan tempat mencari kesusahan; 5. sl akan, untuk: bab ~ menyatakan; 6. dari, daripada: ~ bercerai mahulah mati; ~ jadi Komunis biarlah dia mati.


pada II 1. tidak kurang dan tidak lebih cukup: kaum kita hidup ~ dgn sesuap nasi; 2. berasa puas (senang), berasa cukup: hatinya belum ~ ;
asal ada kecil pun ~ prb asalkan ada, tidak banyak, sedikit pun cukuplah;


berpada mencukupi: dlm keadaan serba sederhana dan ~;

berpada-pada 1. elok-elok cukup, tidak berlebih-lebihan: amatlah sukar hendak menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu ~ atau melebihi batasan-batasan yg dihadkan; 2. agak cukup (walaupun tidak banyak), lumayan, sedang;

memadai mencukupi, dapat mengisi atau memenuhi (kehendak, peraturan, dll): rang undang-undang ini ~lah diluluskan oleh Dewan Rakyat; makanan semata-mata tidak ~;

memada-memadai membuat seelok-elok cukup sahaja;

memadakan 1. menjadikan pada, menganggap pada: apabila malam dipadakanlah tidur bertikar; 2. membiarkan, mendiamkan: orang tua mahulah sabar dan ~ kelakuan orang muda; 3. menjadikan puas, memuaskan: ~ hati;

terpada; tak ~ tidak boleh ditandingi, terlalu sangat.

pada III sama-sama, ramai-ramai (melakukan sesuatu): ibu-ibu itu ~ duduk mengobrol; mereka ~ berebut minta makanan; burung-burung sudah ~ resah menunggu.

pada IV sl 1. † kaki; 2. tempat (dlm kata majmuk): maya ~, marca ~.

Wednesday, November 12, 2008

BUKU HARIAN ASRUL (BAB 2)

Amir hanya diam tetapi tangisan dan deraian air matanya telah berhenti. Mungkin dia telah menerima keadaan sebenarnya. Apa pun yang terjadi, Adam ada kami semua. Itu yang penting. Setelah hampir 25 minit dalam perjalanan ke rumah Amir sampai juga akhirnya. Kami disambut Bibik Omah orang gaji Amir yang menangis apabila terlihat muka Amir. Dia terus memeluk Amir. Bibik Omah bukan sahaja orang gaji bagi Amir tetapi orang yang selama ini mengasuh Amir dari kecil sehingga dewasa. Bibik Omahlah yang menjadi ibu kedua bagi Amir.

Keluarga Amir tidak menggangap Bibik Omah sebagai orang gaji tetapi telah dianggap sebagai salah satu anggota keluarga Amir. Aku, Adam, dan Adnan juga mengenali Bibik Omah dengan rapat sejak kami berusia 8 tahun. Mana tidaknya, kami semasa kecil kerap bermain di rumah Amir kerana di rumahnya mempunyai sebuah pondok yang selalu kami jadikan sebagai tempat permainan kami. Walaupun sudah hampir 10 tahun pondok itu tidak digunakan oleh kami untuk bermain, ia masih kekal berada disitu. Pernah sekali ayah Amir hendak merobohkan pondok itu tetapi Amir menghalang. Dia cakap pondok itu adalah kenangannya dengan kami semua, malah pondok itu adalah hasil buatan ayahnya sendiri. Dia tidak mahu menghilangkan kenangan yang sangat indah bersama orang yang tersayang. Sungguh terharu kami mendengarnya ketika itu.

˝ Bik dah tahu cerita tentang tuan dan puan” tanya Adanan kepada Bibik Omah.
˝ Udah, bibik udah tahu. Kesiannya dengan Amir ya. Bibik kaget dengar berita itu. Tapi kata pak polis yang baru saja datang tadi belum ada lagi berita apa-apa tentang tuan dan puan. Cuma dia bilang mereka masih hilang dan belum ditemui lagi” sambung Bibik Omah.
˝ Cikgu rasa masih ada harapan tak, untuk kita mengharap mak bapa Amir itu selamat” tanya Adam.
˝ Susah untuk cikgu membuat andian buat masa sekarang. Tapi kebanyakan kes seperti ini selalunya mangsa yang berada di dalam kapal terbang semuanya meninggal, sama ada ditempat kejadian atau pun dalam perjalanan ke hospital. Apatah lagi dalam kes seperti ini, kapal terbang yang terhempas bermula pada ketinggian beribu kaki dari paras laut. Susah untuk cikgu membuat keimpulannya” jelas Cikgu Amran.

Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu dari mulut Cikgu Amran, Amir hilang harapan untuk bertemu kedua ibu bapanya. Raut wajahnya turut berubah.
˝ Amir, cikgu cakap seperti ini supaya kamu tidak memberikan harapan untuk bertemu dengan orang tua kamu. Kamu harus tabah Amir” Cikgu Amran cuba meyakinkan Amir sekali lagi.
˝ Kita sebagai sahabat kau Amir, nak yang terbaik untuk kau. Jadi jangan macam ni ya’ tambah aku.
Amir mula bersuara, ” baiklah, aku akan cuba. Tapi aku perlukan masa untuk semua ini. Sebab semua ini berlaku dalam masa yang pantas. Dan aku sangat terkejut”
˝ Memang patut pun kau nak bersedih. Kau nak nangis sekarang nangislah puas-puas. Nanti bila dah puas aku tak nak dengar atau lihat kau menangis lagi” Adanan mula bersuara. Adanan memang bersikap agak agresif tapi sebenarnnya dia seorang yang baik hati.
˝ Bual-bual juga bibik lupa, nak hidangkan air. Kejap ya bibik ke dapur” bibik berbicara sambil membuat telatahnya seperti dahulu.
˝ Tak payahlah bik. Lagipun saya dah nak balik ke sekolah semula. Masih ada kerja sikit. Asrul, Adam dan Adanan kamu biarlah di sini temankan Amir” Cikgu Amran membalas.
˝ Baik tuan” kami menjawab dengan serentak. Amir dan bibik mula mengukir senyuman yang kami harapkan daripada mereka. Dengan senyumanlah dapat mengubat luka yang belum kering lagi itu.

Cikgu Amran terpaksa bergegas pulang ke sekolah kerana masih ada urusan ynag belum diselesaikan lagi. Dia membenarkan aku, Adam dan Adanan menemani Amir pada hari itu. Memang itulah yang diamanahkan oleh pengetua sewaktu dibawa ke rumah Amir. Sebagai rakan karibnya, aku akan berusaha melakukkan yang terbaik demi kebaikan Amir dan Bibik supaya peristiwa itu tidak menghantui dirinya lagi. Walaupun semuanya belum pasti lagi, sama ada ibu bapa Amir masih hidup ataupun sebaliknya tetapi kami berusaha untuk membantu Amir supaya menerima semua kemungkinan yang akan berlaku. Kami tidak mahu Amir akan bertambah kecewa dan mengharap akan kepulangan orang tuanya. Itu sahaja yang kami lakukan.

Amir pernah mengalami nasib yang sama apabila datuk dan neneknya terlibat dalam kemalangan jalan raya 2 tahun lalu. Dia teramat sayang akan datuk dan neneknya, dia menjadi seorang yang sangat menyedihkan dan menakutkan. Dia tidak boleh menerima kenyataan akan kematiaan datuk dan neneknya. Sukar untuknya menerima kenyataan. Itu yang aku takutkan jika perkara yang sama berlaku kepada Amir. Sewaktu kematian datuk dan neneknya, ibu bapanyalah yang menjadi penguat semangat Amir. Tetapi kini, kalau bukan aku, Cikgu Amran, Bibik Omah dan rakan-rakan siapa lagi yang akan membantu menaikan semangat Amir. Aku tidak sangup melihat semuanya berlalu bergitu sahaja. Bak kata pepatah ’mencegah lebih baik daripada menguatinya’. Dalam hal ini peanan aku dan yang lain-lain amat bererti dalam hidup Amir. Aku dapat rasakan bagaimana rasanya apabila kita kehilangan orang yang tersayang.

Sebaik sahaja Cikgu Amran pulang balik ke sekolah, Bibik Omah terus ke dapur menyediakan makan tengah hari untuk kami berempat. Sementara Bibik Omah menyediakan makanan, kami bersembang-sembang dan berehat melupakan perkara yang berlaku tadi pagi. Sambil berbual-bual, Adam mengajak kami menonton CD ceramah terbaru Ustaz Akhil Hayy yang baru dibelinya. Seronok juga mendengar ceramah ini, boleh hilangkan tekanan dan masalah. Kami berempat begitu seronok mendengar ini. Sungguh aku tidak menduga Amir yang tadinya menangis teresak-esak kini kembali seperti Amir yang aku kenal. Seorang yang tabah, ceria dan kelakar orangnya. Sebenarnya di rumah Amirlah tempat kami menonton CD atau DVD baru jika salah satu antara kami yang membelinya. Memang sudah menjadi hobi kami menonton CD atau DVD dan menghabiskan masa bersama.
˝ Bila masa kau beli CD ceramah ni, tak nampak pun kau pergi beli” tanya aku kepada Adanan” Jawab Adanan
˝ CD ni bukan aku beli, tapi Cikgu Amran yang bagi tadi, memanglah kamu semua tak nampak. Masa kat dalam kereta tadi aku duduk kat depan. kamu bertiga duduk kat belakang sampai tak perasaan”.
Amir menyampuk ” Ooo... mcm tu. Betul cakap kau Nan, Cikgu Amran memang banyak cerita-cerita macam ni. Aku pernah nampak banyak CD kat umah dia”.
˝ Kau orang ni banyak cekadaklah, dengar jelah ceramah ni. Aku tengah tengok ni. Potong stim lah” Amir mula bersuara setelah lama berdiam diri kerana terlalu khusyuk melihat CD. Adam memang suka tengok CD ceramah Akhir Hayy dah memang hobi dia kalau nak dibandingkan antara kita berempat. Gelagat Adam itu membuatkan aku, Adanan dan Amir terketawa seketika.

Tuesday, November 11, 2008

Bahasa Melayu bagai melukut di tepi gantang

BANYAK pihak membantah apabila kerajaan negeri Pulau Pinang ingin menggunakan bahasa lain, selain bahasa Melayu pada papan tanda jalan beberapa tempat warisan untuk tujuan pelancongan, terutama dari luar negara.

Sikap keprihatinan begini perlu dipuji dan kalau sikap mulia ini diteruskan setiap kali bahasa Melayu dipinggirkan dalam kapasitinya selaku bahasa negara, ia perlu disanjungi setinggi-tingginya. Namun, sikap sedemikian tidak selalu bersifat konsisten.

Sebenarnya, bahasa Melayu banyak dipinggirkan akhir-akhir ini, terutama dalam peranannya selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kadangkala yang membelakangkan bahasa Melayu ialah orang Melayu sendiri, penutur natif dan etnik kepada bahasa Melayu.
Berita penuh di

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Surat/20081110233506/Article/

Assalamualaikum…

Di sini bukanlah saya ingin melatah atau ‘naik angin’ tanpa sebab munasabah. Berdasarkan artikel Prof Dr Teo Kok Seong, seorang Profesor Sosiolinguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa penggunaan bahasa Melayu semakin terpinggir, bagai retak menanti belah. Warisan yang dijulang akan tercemar oleh bangsa sendiri. Slogan ‘tak akan Melayu hilang di dunia’ sememangnya benar. Namun, bagaimana pula dengan bahasa Melayu?

Penggunaan bahasa Melayu sering kali dipingirkan oleh bangsa Melayu sendiri. Jika tidak kita yang memartabatkan bahasa Ibunda, siapa lagi? Persoalan ini perlu kita tujukan kepada mereka yang kuat pengaruhnya dalam Negara. Bukan saya hendak menuding jari atau menuduh, tanpa persetujuan dan kelulusan pihak atasan perkara ini tidak akan berlaku. Masyarakat pula jangan hanya menganggukkan kepada dan diam membisu. Tindakan yang segera perlu diambil. Bahasa melambangkan bangsa itu sendiri. Jangan disebabkan bahasa, bangsa akan tergadai.

Oleh
Abg aloha

Sunday, November 9, 2008

BUKU HARIAN ASRUL (BAB 1)

Sepuluh minit sebelum loceng sekolah berbunyi, aku bergegas ke kantin sekolah kerana aku belum bersarapan lagi. Maklumlah sejak aku dari kecil lagi kalau aku tidak bersarapan pagi aku akan sakit perut tak selesalah aku nak belajar. Aku beli 3 ketul kuih epok-epok dan segelas teh panas untuk alas perut. Aku nampak Cikgu Amran iaitu cikgu disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Lapang. Dia seorang yang tegas dan garang, takut juga aku dengan dia. Nampak sahaja dia menuju ke dalam kantin terus aku bangun dan berlari menuju masuk ke dalam kelas. Kebetulan cikgu masa itu belum masuk lagi. Nasib aku kali ini memang selamat kalau tidak habislah aku kena denda. Aku pernah kena denda dengan Cikgu Amran kerana lewat masuk ke dalam kelas. Tapi masa itu lonceng belum berbunyi lagi. Sudah menjadi adat sekolah, pelajar-pelajar dikehendaki berada di dalam kelas 5 minit sebelum mula sesi pengajaran dan pembelajaran.

” Kau kemana tadi, apasal lewat masuk. Ni mesti kau pergi makan dulu kan. Kau ni tak abis-abis.” Amir rakan sekelas aku yang duduk disebelah aku dan juga kawan baik aku dari sekolah rendah lagi bertanya kepada aku. Dia memang masak dengan perangai aku. Aku selalu berkongsi masalah dengan dia. Keluarga dia dah anggap aku seperti anggota keluarga sendiri.
˝ Biasalah kau macam tak tau je, dia mana boleh tak makan, nanti sakit perut. Aku tak nak jadi macam minggu lepas” Seorang lagi rakan aku iaitu adam menyampuk. Pernah sekali iaitu pada minggu lepas aku tidak sarapan pagi, aku sakit perut yang teramat sangat dan menganggu proses pembelajaran. Aku dibawa ke pusat rawatan dan ditemani oleh Amir, Adam dan Adanan. Mereka bertiga adalah rakan karib aku.
Adanan tiba-tiba bersuara ˝ Asrul, kenapa kau pergi tak ajak aku. Aku pun belum sarapan lagi” .
˝ Maaflah Nan, aku tak sempat nak bagi tau kau, sebab aku datang terus pergi ke kantin” jawab aku.
˝ Kau tak makan pun tak apa Nan, ni kawan kita sorang ni mana leh tak makan. makin melarat adalah.” Sampuk Amir. Kami berempat ketawa pada pagi itu sambil diperhatikan raksan sekelas yang lain dan tiba-tiba Cikgu Zubaidah masuk untuk memulakan pembelajaran dan kami belajar seperti biasa.

Sedang asyik kami belajar, tiba-tiba pengetua masuk ke dalam kelas. Mungkin ada sesuatu yang ingin disampaikan.
˝ Asslamaualikum semua” Pengetua mula bersuara dengan nada yang agak serius. Pengetua memang serius orangnya tapi aku rasa lain macam kerana wajahnya agak tegang macam ada sesuatu.
˝ Walaikumusalam pengetua” jawab kami satu kelas. Pengetua pun sambung tutur katanya.
˝ Saya ada sesuatu yang ingin saya sampaikan kepada anda semua dan saya berharap hendaklah anda semua bersabar menerima berita ini. Saya mendapat panggilan telefon dari En. Bakri bin Asnan iaitu bapa Amir” tiba-tiba Amir bangun tidak semena-mena. Dan dapat merasakan sesuatu perkara buruk yang berlaku. Kami semua memandang ke arah Amir setelah mata tertumpu lama ke arah pengetua.
˝ Amir, cikgu harap awak dapat bersabar ya” tambah pengetua. Amir tiba-tiba menuju kepada pengetua untuk mendapatkan kepastian perkara yang sebenar dan apa yang berlaku sebenarnya dan kenapa namanya disebut. Begitu banyak persoalan yang berlegar dikepala Amir malah kami sebagai sahabatnya tidak terlepas memikirkan apakah yang sebenarya ingin disampaikan oleh pengetua. Pengetua terus menyambung pembicaraannya dengan nada yang berlainan dan sedih
˝ Kapal terbang yang ibu bapa kamu naiki telah terhempas di Hong Kong”. Kami semua memang sedia maklum Amir berasal dari keluarga yang kaya. Dan ibu bapanya selalu pergi outstation untuk menguruskan perniagaannya. Sebaik sahaja menerima perkhabaran itu, tiba-tiba Amir terus berlari keluar dari bilik darjah sambil menangis. Jelas kelihatan apabila Amir mengesat air matanya dengan tangannya. Aku, Adam dan Adanan terus bangun dan berlari keluar kelas untuk mendapatkan Amir. Amir berlari dan terus berlari seolah-olah orang hilang akal. Tetapi sampai sahaja dipintu pagar sekolah dia terduduk dia sudut tepi jalan dan menagis sekuat-kuat hatinya sehingga Pak Guard yang ada disitu terpingga-pingga dengan gelagat Amir. Aku, Adam dan Adanan hanya mampu menenangkan hati Amir walaupun berita yang diterimanya itu pahit untuk ditelah. Namun dalam saat-saat seperti ini hanya itu sahaja yang mampu kami lakukan.

˝ Amir, insyallah mak dan bapak ko tak ada apa-apa. Kita kena yakin. Banyak-banyaklah berdoa Amir.” aku cuba menenangkan Amir.
˝ Betul tu Amir, kau jangan pikir yang bukan-bukan tau. Banyak-banyak berdoa dan berserah pada yang dia atas.” Adanan menambah.

Pengetua mengekori kami dari belakang sambil ditemani oleh Cikgu Amran.
˝ Kamu bertiga pergi ambil beg kamu dan temani Amir untuk pulang ke rumah. Biar dia tenangkan fikiran dia” Kami berempat dibenarkan pulang oleh pengetua.
Pengetua meminta Aku, Adanan dan Adam supaya menenangkan Amir dan menaikkan semangatnya kembali. Kami dihantar oleh Cikgu Amran pulang ke rumah Amir. Raut wajah Amir memang amat menyedihkan. Aku tidak pernah melihat raut wajahnya seperti itu sebelum ini. Dia seolah-olah hilang semangat sebaik sahaja menerima berita yang menyedihkan itu. Aku, Adam dan Adanan hanya mampu menemani dan menaikkan semangat dia untuk saat ini. Sedih memang sedih, siapa yang tak sedih jika aku sendiri yang menerima berita itu. Mungkin aku lagi teruk dari itu. Siapa sangka gelak ketawa kami tadi pagi hanya untuk seketika. Memang betul kata orang malang memang tidak berbau.

Aku sedih sangat melihat Amir dalam keadaan tidak bermaya ketika dalam perjalanan pulang. Hendak sahaja aku menangis ketika itu. Tapi apakan daya kalau aku menangis akan menambahkan beban dan kesediahan di hati amir. Aku tak sampai hati.
˝ Amir, awak janganlah macam ni ingatkan tuhan banyak-banyak. Insyallah semuanya tak ada apa-apa” Cikgu Amran cuba menenangkan Amir. Tiba-tiba Adam bersuara sambil memalingkan muka Amir ke arahnya.
˝ Amir, Amir dengar sini, kalau kau menangis air mata darah sekali pun benda dah jadi takkan kembali kepada yang asal. Dengar sini, kita semua akan mati juga satu hari nanti tapi kita tak tahu bila dan bagaimana. Aku percaya walaupun ditakdirkan diantara kita yang pergi dulu, ada orang yang akan menyayangi kita seperti kita semua. Aku sayang kamu semua seperti adik beradik aku sendiri. Kita kena yakin itu” Adam lantang dalam memberikan teguran sehingga aku terkejut. Adam yang selama ini aku kenali adalah seorang yang suka bergurau senda tiba-tiba berubah. Tapi apa yang dikatakan olehnya ada betulnya juga.
˝ Hurmm....” aku mengeluh seketika.
˝ Betul apa yang dicakapkan oleh Adam tu, walau apapun yang terjadi kau ada kami semua, kami sayang kau. Ingat tu” sambung aku.
˝ Cikgu pun ada juga. Walaupun cikgu banyak denda kamu tapi cikgu buat semua itu sebab cikgu sayang pada kamu semua. Kamu boleh anggap cikgu seperti abang kamu sendiri.” Terperanjat kami dengan kata-kata Cikgu Amran tapi memang kami sudah tahu Cikgu Amran ini sebenarnya baik cuma garang sikit. Itu pun kami selalu buat hal di sekolah.

AYAT-AYAT CINTA

AYAT-AYAT CINTA

Dalam selembar warkah,
Tertulis puisi indah,
Kata-kata yang penuh bermakna
Dahagakan alunan,
Ayat yang membuat engkau tersenyum.

Ku susun kata indah,
Pemanis bicara menusuk kalbu,
Ayat demi ayat,
Kata demi kata,
Memberikan ungkapan yang beza,
Dalam makna yang sama.

Mata pena yang tajam,
Membatu ayat itu berbicara,
Memberikan semangat,
Merlahirkan seribu satu rasa,
Yang tidak dapat dirasakan,
Oleh Sang pencipta.

Ayat-ayat itu,
Selesai berbicara,
Lengkap isi dan maknanya,
Berbangga dengan pencipta,
Hasil makna ayat yang sempurna.

Kini,
Ayat-ayat cinta telah bergema,
Bernyanyi dengan nada yang syahdu,
Menari dengan irama yang satu,
Semuanya menjadi padu,
Dalam ungkapan bernama puisi.


oleh
abg aloha

Apa itu Gila?

Semua orang pernah merasakan apa itu gila?.

Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan perkataan di atas. Gila bermaksud perbuatan yang diluar batasan tingkah laku manusia. Kita sering mengklafikasikan gila kepada mereka yang hilang akal, tetapi sedarkah bahawa kita sendiri pernah mengalami erti gila itu sendiri. Dalam sedar atau tidak, kehidupan kita sedikit sebanyak dipengaruhinya. Cuba anda bayangakna adakah cinta itu berada di dalam batasan manusia? Sebenarnya tidak sekali-kali. Cinta sebenarnya merupakan di luar batasan manusia.

Kuatnya cinta menyebabkan manusia hilang akal dan pertimbangan. Seperti mana saya telah nyatakan tadi semua orang pernah mengalaminya iaitu cinta. Cuma yang bezanya betapa dalam cinta itu yang di alaminya. Jika dalam dan mendalam cinta itu, maka gila yang dialaminya itu adalah lebih. Tetapi mereka yang menganggap cinta itu sekadar main-main atau sebagai bahan untuk pengihbur dans ebagainya, kesannya mungkin tidak terlalu dalam, walau apa-apapun, kedua-dua jenis cinta ini boleh dianggap sebagai gila kerana diluar batasan manusia. Antara contoh gila semasa bercinta adalah:

1. Risau jika tidak sehari mendengar berita atau khabar daripada si dia.
2. tidak lelap tidur jika menghadapi masalah dengan si dia.
3. berlaku kompilasi perasaan atau darah gemuruh jika berjumpa dengan si dia (berkali-kali atau pertama kali)
4. terlalu ceria daripada biasa jika mendapat cinta dari si dia.
5. kadang-kadang kita terlalu mecinta seseorang sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi cinta dan kasih.
6. cemburu bila si dia melihat atau mendapat tahu kekasihnya keluar atau bergaul mesra dengan orang lain.
7. ada yang sangup membunuh diri disebabkan cinta
8. lain-lain

Perasaan ini semua di anggap di luar naluri kehendak manusia dan inilah menjadikan kehidupan itu kadang kala suka dan adanya duka. Semua itu perlu di hadapi oleh setiap orang dan merekalah yang menjadikan benda itu indah. Perasaan ini sebenarnya bukanlah dianggap gila yang terlampau tetapi dianggap gila kerana definisi gila itu sendiri. Gila pada erti kata yang biasa kita gunakan adalah merujuk kepada gila yang berada pada tahap yang melampau dan diterima pakai oleh sesebuah masyarakat khusunya dan sesebuah negara amnya.

‘kurang siuman’ dalam bahasa Indonesia juga merujuk kepada perkataan gila dalam bahasa Malaysia. Perasaan cinta juga dianggap kurang siuman bukan kerana perlakuan gila yang melampau tetapi perasaan gila cinta itu sendiri. Oleh itu janganlah menjadi gila bercinta. Maksudnya di sini, ada sesetengah pihak berpendpat jika bercinta berpada-padalah dan jangan merosakan diri dan pasangan kita. Terima cinta seadanya dan merelakannya jika yang disemi tiada hari akan datang dan terpaksa untuk dihentikan maka terimalah seadanya. Jika boleh diselamatkan bercintalah kerana dengan bercinta kita merasakan diri ini dihargai dan dengan bercinta kita merasakan kenikmatan dunia ini.

Dalam bercinta jangan melakukan perkara-perkara diluar dan tindakan manusia yang normal. Ingatlah adat dan agama. Tatkala hujan turun di tengah lautan, jika air bertemua air, bergabuang keduanya. Namun tidak sama apa yang turun dari atas dan apa yang sudah ada di bawah. Ingatan terakhir, bercintalah selagi yang sudi, berkasihlah selagi ada yang sayang, bergembiralah selagi ada teman dihati dan berwaspadalah sebelum terjadi. Bercinta jangan terlalu bersungguh-sungguh dan meletakkan 100% pada cinta, kelak akan merana jika perpisahan berlaku. Cukuplah setia, kejujuran dan keikhlasan mencintai si dia. Hayatilah sebuah sajak nurkilanku buat renungan bersama.

Ku melihat,
pasangan itu berkasih-kasihan,
berpegangan tangan,
sambill terukir seribu senyuman.

Apa ada dengan cinta?
Sebuah kemanisan, sekelumit perasaan,
Dua hati terikat bagai dunia milik berdua,
Tatkala semuanya berlaku.

Biarlah pokok menjadi saksi,
Angin menjadi wali,
Bibir-bibir mula terukir Seribu kemanisan,
Indah dunia lupa segalanya.

Ada batas ada adat,
Walau cinta tersimpul mati,
Ingat tuhan ingat balasan,
Jangan kelak diri yang rugi.

Kasih cinta hingga terikat ikatan,
kasih ibu bapa bawa ke syurga,
Pilih dua antara mereka,
Pasti akan membawa bahagia.

oleh
abg aloha

Friday, November 7, 2008

BERUNTUNGNYA KAU DI SINI

BERUNTUNGNYA KAU DI SINI

Cuba kau lihat hujan yang turun,
Cuba kau rasakan derasnya ia terjun,
Dari satu puncak,
Yang tinggi di awan,

Cuba kau renungkan,
Jauh nun tinggi di atas sana,
Selamai dengan jiwa,
Jangan pacaindera kau antarakan,
Kerana dengan itu,
Kau tidak akan merasakannya

Hujan yang turun,
Dingin badan dirasakan,
Salju yang jatuh,
Bagai debu yang berterbangan,
Panas yang memancar,
Keringat yang di dahagakan.

Fikirlah,
Ini semua adalah dunia,
Alam yang indah,
bumi yang damai,
ciptaan yang kuasa,
tidak dapat dibayangkan,
beruntungnya kau di sini.

Jagalah dengan penuh rela,
Dengan hati yang murni,
Tanpa ada benci dan simpati,
Ku yakin dengan tekad,
Kau akan tahu erti hidup ini,
Betapa beruntungnya kau di sini.

Oleh
abg aloha

JANGAN BICARA SOAL CINTA

JANGAN BICARA SOAL CINTA

Apa yang kau tahu erti cinta,
Dua merpati berkasihan,
Dua hati berjanji untuk selamanya,
Kata-kata itu sering dikeluarkan.

Jangan bicara soal cinta,
Jika tidak tahu apa maknanya,
Jangan pernah dekati cinta,
Jika pada pencipta tiada wujud kata cinta,

Bercinta dahulu kepada mereka,
Yang banyak berkorban untukmu,
Yang sanggup berhujan panas,
Bersusah payah tanpa mengharap balasan,
Insan pertama yang patut engkau cintai,
Bukannya dua sejoli yang tidak tahu
Makna pengorbanan.

Jangan bicara sola cinta,
Kalau mereka kau abaikan,
Jangan jadi pendusta kepada mereka,
Kerna mereka amat mencintai dirimu,
Lebih dalam cinta kepada kekasihmu.

Jangan kerana cinta,
Kau butakan hatimu,
Tulikan telingamu,
Kau kesatkan kata-katamu,
Bercintalah pada dirimu,
Kerna dengan cara itu,
Kau tahu menilai
Erti cinta yang tulus.

Oleh
abg aloha

Apa itu kata Singkatan dan Akronim?

Salah satu daripada aspek morfologi bahasa Melayu adalah bentuk perkataan yang terdiri daripada kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Kata tunggal ialah kata yang tidak mempunyai apitan, imbuhan dan gandaan tetapi hanya terdiri daripada kata dasar. Menurut Abdul Aziz Abdul Rahman (2001:51) secara umumnya akronim tergolong dalam bentuk kata tunggal yang terdiri daripada satu bentuk dasar, iaitu bentuk yang tidak menerima imbuhan atau kata dasar yang lain. Kata tunggal terdiri daripada beberapa bahagian antaranya kata akronim. Kata akronim adalah kata yang hampir menyerupai kata singkatan. Tetapi berbeza dari segi proses pengujaran dan penulisannya.

Menurut Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin (2005:171) akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan huruf awal dan suku kata daripada satu rangkaian dan ditulis serta dilafazkan sebagai kata yang wajar. Sungguhpun akronim berasal daripada beberapa perkataan tetapi telah menjadi satu kata yang utuh dan mantap yang mempunyai makna serta dapat berdiri sendiri. Akronim melibatkan percantuman bahagian-bahagian daripada beberapa perkataan untuk membentuk satu perkataan baru (Tatabahasa Dewan, 1993:52).

Secara umumnya akronim boleh didefinisikan sebagai satu bentuk kata yang dipendekkan dengan menggabungkan atau mencantumkan beberapa huruf yang terdapat pada perkataan tersebut. Akronim bertujuan untuk memudahkan penutur semasa mengujarkan perkataan yang panjang sepeti nama pertubuhan sesuatu badan atau organisasi dan perkataan tersebut dapat memberikan makna dan difahami oleh khalayak. Akronim juga dilafazkan dengan mengikut suku kata setelah perkataan tersebut diakronimkan.

Menurut Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin (2005:171) menyatakan akronim ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu gabungan beberapa huruf awal rangkai kata yang disingkatkan. Permulaan huruf yang diambil hendaklah ditulis dengan menggunakan huruf besar. Contohnya, Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Jenis akronim yang kedua adalah gabungan huruf awal sesuatu perkataan atau suku kata pertama perkataan tersebut yang ditulis dengan menggunakan huruf kecil keseluruhannya. Contohnya, taman bimbingan kanak-kanak(tabika) dan cerita pendek(cerpen). Jenis akronim yang ketiga adalah gabungan huruf awal atau suku kata sesuatu perkataan dan berfungsi sebagai satu kata nama khas. Kata nama khas ini ditulis bermula dengan huruf besar . Contohnya, Berita Nasional Malaysia (Bernama),Perbadanan Nasional (Pernas) dan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan)

Menurut Asmah Haji Omar (1986:24) akronim terbahagi kepada tiga iaitu menggabungkan suku kata pertama dan suku kata kedua unsur. Gabungan antara kedua-dua suku kata ini dapat membentuk satu perkataan yang mempunyai makna. Contohnya, habis kikis diakronimkan menjadi hakis dan asap kabut diakronimkan menjadi asbut.
Jenis akronim yang kedua adalah dengan menggabungkan unsur-unsur dengan cara memendekkan unsur pertama dan mengekalkan huruf perkataan kedua tanpa membuangnya.
Jenis akronim yang ketiga adalah gabungan kata depan dengan memendekkan unsur kedua pada bahagian awalnya.

Asmah Haji Omar menyatakan proses akronim boleh dilakukan bergantung kepada kesesuaian dan kesedapan bunyi ayat tersebut. Walau bagaimanapun, konsep yang dinyatakan oleh Asmah Haji Omar adalah salah dari aspek makna perkataan tersebut. Perubahan makna ini boleh menyebabkan kekeliruan. Contohnya perkataan ‘ke masa kini’ diakronimkan menjadi ‘kemaskini’ yang dapat dilihat pada muka surat tiga. Perkataan ‘ke masa kini’ membawa maksud pada hari tersebut atau hari ini manakala ‘kemaskini’ pula membawa maksud semak semula atau rekod semula. Walaupun mengalami proses akronim, tetapi maksud perkataan tersebut telah mengalami perubahan dan menimbulkan kekeliruan yang menjadi permasalahan dalam proses akronim jika menggunakan konsep Asmah Haji Omar.

Menurut Mansoer Pateda (1995:168) singkatan adalah pemendekan kata-kata yang teratur mewujudkan satu bentuk kata. Walaupun kata singkatan hampir menyerupai kata akronim, tetapi ia mempunyai banyak perbezaannya. Perlulah diingatkan bahawa akronim berbeza daripada singkatan. Singkatan ialah kependekan bagi satu atau beberapa perkataan manakala akronim adalah gabungan perkataan. Proses singkatan tidak melibatkan gabungan.

Sekiranya diperhatikan secara mendalam dan terperinci, kata singkatan ini kebanyakannya dipengaruhi oleh masyarakat dalam penggunaannya untuk berkomunikasi. Setiap perkataan yang disingkatan haruslah difahami oleh khalayak umum supaya mesej yang ingin disampaikan dapat difahami. Kata singkatan ini adalah proses pembuangan huruf dalam beberapa perkataan dan diujarkan secara satu persatu mengikut ejaan huruf.

Kata singkatan sebenarnya melibatkan pembuangan huruf yang terdapat dalam beberapa perkataan. Singkatan terbahagi kepada beberapa jenis yang melibatkan pembuangan huruf antaranya adalah singkatan perkataan yang melibatkan enam perkataan seperti bilangan disingkatkan menjadi bil, dan perkataan yang tidak boleh disingkatkan sehingga satu huruf dan telah utuh dalam penggunaannya seperti perkataan halaman disingkatkan menjadi h. Walau bagaimanapun, kata singkatan ini sebenarnya tidak termasuk dalam golongan kata singkatan kerana kata-kata yang telah disingkatkan ini lebih kepada bentuk tulisan. Kata-kata ini ditulis dalam penulisan novel, majalah, komik dan sebagainya untuk menjimatkan ruang dan masa.

Kata akronim dan kata singkatan mempunyai banyak perbezaannya. Perbezaan yang paling ketara adalah cara pengujarannya. Akronim diujar berdasarkan suku kata atau disebut dalam satu atau lebih ujaran. Tetapi kata singkatan diujarkan berdasarkan huruf dan diujarkan secara satu persatu seperti PLKN (Program Latihan Khidmat Negara) tidak diujarkan sekali gus tetapi disebut satu persatu berdasarkan huruf pertama setiap perkataan. Walau bagaimanapun, kata akronim dan kata singkatan ini mempunyai persamaan antaranya mempunyai persamaan dari segi gabungan dan percantuman huruf pertama dalam perkataan. Percantuman dan gabungan berlaku semasa proses akronim dilakukan bukan hanya melibatkan satu huruf yang pertama sahaja malah melibatkan gabungan suku kata dan huruf. Oleh itu, pelbagai konsep dan penggunaan kata akronim dan singkatan diutarakan oleh ahli pakar bahasa.

Hasil daripada pemerhatian dan kajian yang dilakukan, didapati bahawa kata akronim sebenarnya tidak menyerupai kata singkatan. Kata akronim adalah tergolong dalam kata tunggal manakala kata singkatan bukan tergolong dalam kata tunggal. Oleh itu, sudah jelas kata akronim dan kata singkatan adalah berbeza. Selain itu, apabila sesuatu perkataan diakronimkan dan hasil perkataan tersebut adalah mudah untuk diujarakan manakala kata singkatan adalah perkataan yang telah disingkatakan dan sukar untuk diujarkan (Mansoer Pateda,1995:168). Menurut Ahmad Khair Mohd Nor (2007) akronim harus dibezakan daripada singkatan. Persamaan antara kedua-duanya ialah kedua-duanya melibatkan gabungan atau cantuman huruf pertama dalam beberapa perkataan.

Nik Safiah Karim et al. (2005:171) menyatakan akronim jenis kedua adalah gabungan huruf awal sesuatu perkataan atau awalan suku kata perkataan tersebut yang ditulis dengan menggunakan huruf kecil keseluruhannya dengan memberikan contoh cerpen sebagai akronim jenis kedua. Berdasarkan definisi yang dinyatakan, jenis akronim yang kedua menyatakan gabungan awal suku kata setiap perkataan. Walau bagaimanapun, dalam contoh yang diberikan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan. Cerpen sebenarnya berasal dari perkataan cerita pendek. Oleh itu, perkataan sebenar yang diakronimkan mengikut peraturan jenis kedua ini adalah cepen dan bukannya cerpen. Hasil daripada awal suku kata pertama setiap perkataan yang diakronimkan. Sepatutnya, jenis perkataan ini diasingkan dan diberi nama atau jenis baru iaitu pengekalan tiga huruf pertama dan suku kata bagi perkataan kedua.

Perkataan cerpen adalah mengikut konsep jenis kedua Asmah Haji Omar iaitu pemendekan kata akronim tidak ditentukan oleh kriterium tetapi bergantung kepada kesesuaian atau kesedapan ayat tersebut. Jika cerita pendek diakronimkan menjadi cepen mengikut konsep dalam Tatabahasa Dewan, ianya tidak menimbulkan keserasian atau kesesuaian dalam ayat. Malah, ianya akan menyukarkan penutur untuk menutur perkataan tersebut. Oleh itu, konsep yang terdapat dalam Tatabahasa Dewan adalah saling berkaitan dengan konsep Asmah Haji Omar.

Jenis akronim yang pertama juga sama dengan jenis akronim yang kedua, tetapi bezanya jenis ini berfungsi sebagai kata nama khas dan ditulis bermula dengan huruf besar. Perkataan Universiti Pendidikan Sultan Idris apabila diakronimkan akan menjadi UPSI. Walau bagaimanapun, pengambilan suku kata pertama bagi setiap perkataan tidak mematuhi peraturan jenis pertama dalam Tatabahasa Dewan iaitu gabungan huruf awal yang disingkatkan. Jika kata nama khas tersebut mematuhi peraturan jenis pertama, hasil daripada proses akronim adalah upensulid.

Kata singkatan yang dinyatakan oleh kebanyakan buku adalah dalam bentuk penulisan dan bukan dalam bentuk singkatan yang diselaraskan. Kata singkatan adalah perkataan yang disingkatkan dan sukar untuk diujarkan seperti perkataan JBA dan b.p. Terdapat kekeliruan contohnya dalam Sulaiman Masri et al. (2006:156), menyatakan mindef dan bernas adalah kata singkatan yang berasal daripada perkataan ministry of defence dan Beras Nasional. Menurut Mansoer Pateda (1995:168), perkataan singkatan yang telah disingkatkan adalah sukar untuk diujarkan. Oleh itu, kata singkatan ini adalah salah dari segi hukum penyingkatan. Perkataan Mindef dan Bernas sepatutnya tergolong dalam kata akronim dan bukannya dalam kata singkatan. Bernas adalah perkataan yang diujarkan tanpa menyukarkan penuturnya menutur perkataan tersebut. Oleh itu, kata singkatan adalah kata yang terdiri daripada beberapa huruf dan diujar satu persatu tanpa membentuk suku kata contohnya Barisan Nasional disingkatan menjadi BN.

Secara ringkasnya, singkatan atau kependekan ini digunakan untuk mengenal bentuk yang diringkaskan. Bentuk yang diringkaskan haruslah difahami oleh khalayak supaya mesej yang ingin disampaikan dapat difahami. Penggunaan kata singkatan dalam teks atau apa-apa artikel contohnya seperti akhbar dan novel adalah bertujuan untuk menjimatkan ruang. Selain daripada itu juga kata singkatan berfungsi untuk mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat. Penggunaan kata singkatan jelas dapat dilihat dalam penulisan novel atau skrip drama yang menggunakan bahasa harian untuk menggambarkan emosi, suasana, tempat dan watak seseorang pelakon.

Kata akronim pula terbentuk daripada huruf-huruf yang terdapat dalam pekataan yang ingin diakronimkan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pakar bahasa. Ringkasnya, akronim berbeza dengan singkatan dari dua aspek iaitu akronim adalah komponen kata tunggal manakala kata singkatan tidak. Kedua adalah perkataan yang telah diakronimkan mudah untuk diujarkan seperti tabika dan kugiran manakala kata singkatan sukar untuk diujarkan walaupun telah mengalami proses pemendekkan contohnya UKM dan KL.

Hasil daripada penelitian, dapat disimpulakan bahawa kata singkatan dan kata akronim adalah berbeza. Perbezaan pendapat atau konsep yang diutarakan oleh pelbagai ahli bahasa sebenarnya mempunyai banyak persamaan dan saling berkaitan anatara satu sama lain. Walau bagaimanapun, ada kesilapan atau kekeliruan apabila menggunakan konsep yang diutarakan oleh ahli pakar bahasa ini tetapi masih berakar umbi pada punca yang sama. Kedua-dua kata ini masih melibatkan pemendekan, gabungan, pembuangan dan percantuman huruf dalam beberapa perkataan.